Bismillaahirrahmaanirrahiim
Hari ni kawan aku kahwin, jadi aku pun ingat nak pakai smart-smart sikit. Hakikatnya, aku seorang yang tak biasa pakai baju smart seperti casual, kemeja, etc. Maka kerja mencari baju kemeja adalah sangat lama dan akhirnya aku terjumpa satu. Ye satu je baju kemeja aku sejak tingkatan empat. Last sekali aku pakai time hari pertama praktikal tahun ni. Woaaah tibe-tibe aku teringat peristiwa hari pertama di ofis.
Hari pertama ke ofis yang letaknya 20++ km dari rumah aku buat aku betul-betul kecuakan yang teramat. Masuk pukul 9 tapi 8.30 masih lagi stuck dalam traffic jam. Pastu, dah la terlepas simpang pulak tu, nak kena u-turn dengan keadaan jam yang masih teruk. Ya Allah. Nak cari parking, pulak dahhh. Jauh gila nak kena jalan ke bangunan ofis.
8.50 aku berjaya park kemudian perlu berjalan sejauh 1.4km ke ofis (ihsan Google Maps). Kerana nak bina first impression , aku berlari-lari menuju ke ofis dengan membawa beg yang diisi dengan laptop berat. Ya Allah. Hanya Tuhan saja yang tau betapa perlunya aku untuk sampai ke ofis tepat pada masanya. Tak kisahlah berpeluh-peluh pun. Kadang sehinggakan aku terpaksa berlari merentas jalan walaupun traffic light warna merah. Pastu kantoi dengan polis. Pulakkkkk. Polis tu bukak siren dan lampu biru tu. Aku pun lagi la bertambah laju berlari. Haha. Alhamdulillah, keadaan waktu tu tengah jam teruk, maka polis tu nak buat u-turn nak kejar aku pun tak boleh. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.
Dan akhirnya tibalah aku di bangunan, dan berhenti berlari bila masuk lif. Dapat jugak menghirup udara. Berpeluh tak hengat la time tu. Aku tak kisah. Janji dapat bina first impression. Sampai-sampai, tengah taklimat untuk budak2 praktikal dan staff baru. Alhamdulillah, walaupun lambat sikit tapi sempat jugak. Orang HR pun tak marah aku, siap kesian lagi sebab aku terlari-lari. Hahaha alhamdulillah, all credit goes to Allah.
Semangat betul aku cerita pasal 'berlari'. Dulu kecik-kecik berlari sebab kena kejar dengan anjing, sekarang berlari sebab nak kejar waktu on time di ofis. Sifat 'berlari' ni boleh jadi simbolik kepada perasaan terdesak kepada sesuatu. Nakkkkk sangatttt. Sangat terdesakk. Dalam Quran, Allah ada sebut bahawa ada 'satu perkara ni' yang seharusnya perasaan terdesak-nak-sangat-tu perlu disalurkan.
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu
وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa,
[Al-i-Imran (3): 133]
*Saari'u juga boleh diterjemahkan kepada perkataan 'berlari-lari'. Wallaahu'alam. Correct me if I'm wrong.
Maghfiratullah . Keampunan (dari) Allah. Berlari-lari ke arah keampunan dari Allah. Perasaan 'berlari-lari' kepada keampunan Allah pernah dizahirkan oleh ideal man sepanjang zaman, Rasulullah sallallaahu 'alaihi wa sallam.
Adalah Rasulullah sallallaahu 'alaihi wa sallam apabila keluar dari tandas, baginda membaca "Ghufraanaka" (Aku memohon keampunanMu).
[Diriwayatkan oleh Ahmad]
Menurut Imam Al-Baghawi, tindakan Rasulullah memohon keampunan (Ghufraanaka) adalah kerana semasa membuang air tidak dibenarkan menyebut nama Allah. Jadi baginda melihat telah berlaku kekurangan (lupa kepada Allah) semasa buang air lalu baginda memohon keampunan kepada Allah dengan kalimah tersebut apabila keluar dari tandas.
Hadith ni seolah-olah menggambarkan perasaan Rasulullah yang sedang 'terdesak' kerana kesalahannya (dia yang rasa), lalu perasaan terdesak ini disalurkan kepada 'berlari-lari' memohon keampunan dari Allah. Cepat-cepat istighfar selepas keluar tandas. Subhaanallah.
Allah yang Menyambut si pendosa dengan taubatnya, tapi tak semua taubat diterimaNya. Firaun ketika hampir ditenggelamkan, dia sempat bertaubat namun Allah menolak taubatnya. Kerana itu, renungkanlah perkataan saari'u sedalam mungkin dan reflect kepada diri sendiri.
Keampunan dari Allah mungkin berlaku dalam hidup kita hanya sekali seumur hidup ataupun tak banyak. Tapi cara hidup kita hari ini seolah-olah dah confirm masuk syurga. Sebab itu, digariskan perkataan 'berlari' agar perasaan kita ini betul-betul terdesak untuk merebut keampunan dari Allah. Hakikatnya, kalau tengok diri sendiri dan amal yang telah dibuat sepanjang hidup, roh kita tercungap-cungap nak keampunan dari Allah, tapi kita tak terdesak langsung untuk berlari mendapatkannya.
Allah berfirman,
"Kalau dia (hambaKu) datang mendekatkan dirinya kepadaKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku datang mendapatkannya dengan jarak sehasta.
Kalau dia datang sehasta, Aku datang kepadanya sedepa.
Kalau hambaKu datang mendapatkan Aku dengan cara berjalan kaki, nescaya Aku datang mendapatkan dia sambil berlari-lari kecil."
[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]
Ya. Pastinya post ini ditulis 100% untuk aku sorang saja sebagai peringatan untuk diri ini yang berlengah-lengah memohon agar Allah sudi melihat diri yang kerdil tapi gemuk dengan dosa ini. Ambillah mana-mana yang baik kerana itu datang dari Allah, dan buruk itu berpunca dari kesalahan penulis.
Wallaahu'alam bis sowabb...
p/s: last-last aku pakai t-shirt round neck je ke kenduri kahwin sebab tak selesa pakai baju kemeja. Haha
0 comments:
Post a Comment